Kira-kira seratus tahun lampau, Pulau Kapas yang terletak enam kilometer dari Pantai Marang, Terengganu amat ditakuti oleh penduduk dan nelayan tempatan. Mereka cukup takut berteduh terutamanya pada musim tengkujuh. Mereka takut dan khuatir nyawa terancam apbila mendekatinya.
Pulau Kapas dikatakan berpenunggu puaka-beberapa orang yang singgah di situ menerima nasib malang, menemui ajal dalam keadaan yang ngeri dan memilukan. Memang ada di kalangan nelayan-nelayan yang menjadi mangsanya, ada juga yang hilang begitu sahaja. Demikian menurut cerita beberapa orang penduduk setempat.
Selain itu, terdapat cerita yang diperturunkan dari mulut ke mulut tentang asal usul Pulau Kapas, iaitu tentang adanya seekor harimau ganas yang tidak diketahui jenisnya yang sentiasa membaham sesiapa sahaja yang berada di situ. Harimau tersebut kononnya dapat berubah wajah menjadi orang tua atau perempuan cantik yang pandai menggoda.
Apabila bertukar wajah menjadi orang tua ia meminta orang melakukan sembahan-sama ada kambing atau anak lembu. Darahnya hendaklah dihantar ke puncak bukit di situ. Jika ingkar, ia bertukar menjadi harimau, lantas membaham yang ingkar.
Apabila menyerupai perempuan cantik, ia lantas sahaja menggoda. Apabila mangsanya tergoda, ia berubah menjadi harimau dan membaham mangsanya.
Bagaimanapun, orang yang ke Pulau Kapas kini tidak pernah berasa bimbang atau takut lagi. Segala cerita tentang puaka dan harimau itu tinggal dongeng. Pulau Kapas kini menjadi pulau pelancongan yang kian sibuk.
Pulau Kapas yang terletak di perairan Terengganu dikelilingi air laut yang jernih bagaikan kaca sehingga kelihatan batu-batu karang dan ikan pelbagai jenis berwarna-warni.
Pantainya putih bersih dan pemandangannya begitu menarik dengan batu-batan menghampar ke laut. Ia berbukit-bukit dengan hutan menghijau.
Pulau ini juga mempunyai beberapa keistimewaan lain, termasuk sebuah perigi berair sejuk semulajadi. Ia juga sesuai bagi yang berminat dengan aktiviti berperahu, menangkap ikan, menyelam, berkelah dan memancing.
Untuk tiba di pulau ini tidak begitu menyulitkan. Memandangkan terdapat banyak perkhidmatan bot penumpang dari pantai Marang. Pejalan sejauh enam kilometer mengambil masa kira-kira 30 minit. Sebarang tempahan dan pertanyaan boleh dibuat menerusi Hotel Pantai Primula, Kuala Terengganu.
TAMAN LAUT
Sebagai tetamu Kerajaan Negeri Terengganu Darul Iman, ahli-ahli PERTAMA telah dibawa melawat Pulau Kapas yang diisytiharkan sebagai Taman Laut yang diberi perlindungan dan perhatian oleh Kerajaan Terengganu
Pulau Kapas dengan keluasan 2.72 km persegi memang mengkagumkan. Sepanjang pantai memutih umpama kapas. Air laut yang jernih kebiruan bagaikan cermin, dari permukaannya jelas kelihatan pemandangan di dasarnya, batu-batu karang yang hidup dan mati ditutupi lumut laut dapat dihayati. Begitu juga kumpulan ikan-ikan kecil berkilauan berenang ke sana sini di celah-celah batu karang dan sepanjang pantai sungguh menghiburkan serta menyeronokkan.
Angin dingin bertiup dari arah Laut Cina Selatan begitu nyaman, burung-burung Camar berwarna putih bersih berterbangan di permukaan laut dengan riangnya, bagaikan sedang memperagakan tarian dari syurga.
Pulau Kapas menurut ceritanya didatangi oleh penyu dari jenis Agar untuk bertelur sepanjang bulan Jun hingga Oktober pada setiap tahun.
Untuk sampai ke Pulau Kapas kita perlumenaiki bot dari pengkalan nelayan di Marang dengan perjalanan sejauh enam kilometer, mengambil masa lebih kurang 45 minit setelah bergelut dengan ombak dan gelombang. Dari atas bot jelas kelihatan keindahan laut di persekitaran dan juga gunung-ganang di sekeliling pulau yang begitu menarik, terutama kepada pencinta alam semulajadi.
Pulau Kapas merupakan syurga bagi penyelam, snoorkeling, scuba diving dan aktiviti seumpamanya. Airnya yang jernih memberikan ketenangan kepada para pengunjungnya. Perkhidmatan bot dengan kadar bayaran RM15 seorang pergi balik, tempat penginapan chalet dan kemudahan-kemudahan sampingan yang lain memang disediakan untuk para pengunjung dengan layanan ramah dan mesra daripada pekerja-pekerjanya.
Di pulau ini pelancong bukan sekadar dapat menikmati keindahan pantai dan Taman Lautnya malah hampir 95% kawasannya dipenuhi oleh bukit dan gunung-ganang yang ditumbuhi oleh hutan hijau semulajadi. Pulau ini juga merupakan tempat perlindungan nelayan sewaktu musim tengkujuh.
Terdapat berbagai lagenda mengenai pulau ini yang dipercayai oleh penduduk-penduduk tempatan. Kononnya pada suatu masa dahulu sepanjang pantai pulau ini pasirnya berwarna kuning. Sebuah kapal dagang membawa muatan kapas telah tenggelam berhampiran di situ.
Semua muatan kapal hanyut dibawa ombak ke pantai pulau lalu mengubah warna pasirnya hingga menjadi putih. Sebab itulah pulau ini dinamakan Pulau Kapas. Satu lagi lagenda mengatakan pada zaman dahulu sesiapa yang pergi ke pulau ini pasti akan mati dan pulau ini melambangkan kapas bagi mengapankan orang yang telah mati di sana.
Berbagai lagenda lain dapat didengar daripada penduduk tempatan, tetapi biar apa pun dongeng yang diperdengarkan, pulau ini begitu menarik perhatian pengunjungnya, kaya dengan keindahan, menawarkan ketenangan dan kedamaian yang pasti mencengkam citarasa pengunjungnya.
Usaha positif daripada pihak berwajib ke arah memajukan dan memperkenalkan Pulau Kapas sebagai suatu destinasi pelancongan terkenal amat cerah kelihatan, dan tidak kurang pentingnya ia merupakan suatu khazanah unggul warisan kekayaan negeri Terengganu Darul Iman.
OLEH FARIDAH ANOM ARSHAD
KESUCIAN PULAU KAPAS
Keistimewaan Pulau Kapas, keaslian alam semulajadi dan tempatnya. Pelancong yang selalu berkunjung ke pusat peranginan pantai semenanjung, tentu setuju Pulau Kapas antara pulau peranginan paling terpelihara.
Kedudukannya antara yang terdekat tanah besar membuat perjalanan tidak memenatkan dan membolehkan pelancong untuk menikmati sepuasnya apa yang tersedia di pulau ini.
Walaupun dekat dan pengusaha pusat peranginan ini ghairah memperkenalkannya, kesucian pulau menjadi keutamaan. Banyak kegiatan sukan air dielakkan semata-mata untuk memelihara alam semulajadinya.
Namun ini tidak bererti tiada kegiatan langsung ketika di sini. Sedaya boleh kegiatan itu tidak mencemar alam semulajadi.
Mereka yang bijak, menggunakan kelebihan ini untuk beristirehat. Cara terbaik menikmati keindahan perairan Pulau Kapas ialah merentas pinggir pulau menaiki bot atau pergi snoorkeling di perairan berbatu karang.
Anda boleh berehat atau baring di dalam bot lebih setengah jam untuk mengelilingi pulau ini tanpa berasa jemu. Sepanjang perjalanan anda dihidangkan pemandangan menarik seperti gua dan pelbagai jenis burung cantik.
Taman Tamadun Islam merupakan sebuah kembara interaktif monumen Islam di serata dunia. Ia memberikan pendidikan dan hiburan informatif tentang destinasi Islam dunia..Terletak di Pulau Wan Man, Kuala Terengganu, taman seluas 23 hektar ini adalah sebahagian daripada projek untuk membangunkan Kuala Terengganu sebagai bandar tebingan sungai. Taman Tamadun Islam ini terbahagi kepada dua zon: Kompleks Taman Tamadun Islam dan Zon Awam.Taman Tamadun Islam adalah taman tema pertama yang mengiktiraf senibina Islam. Kompleks ini menempatkan 21 replika bangunan berkaitan sejarah Islam dunia.Tarikan utama di sini termasuk Masjid Negara (Malaysia), Dome of the Rock (Palestin), Masjidil Haram (Arab Saudi), Al-Hambra Citadel (Spain) dan Taj Mahal (India).Terdapat juga Mimbar Kalyan (Uzbekistan), Makam Abu Nasr (Afghanistan), Mimbar Berputar Samarra (Iraq), Masjid Mohd Ali (Kaherah), Masjid Besar Qairawan (Tunisia), Masjid Besar Agadez (Nigeria), Aleppo Citadel (Syria), Masjid Kul Syarif (Russia) dan Mimbar Xian, China .Ikon bagi Taman Tamadun Islam ialah Masjid Kristal, yang menjadi mercu tanda baru bagi Kuala Terengganu. Masjid unik ini diperbuat dari kristal kaca dan besi yang telah dibuka secara rasminya oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin pada 8 Februari 2008.
Tasik Kenyir
Tasik Kenyir yang cantik ini adalah tasik buatan manusia terbesar di Asia Tenggara yang merentasi 260,000 hektar.
Tasik ini juga merupakan kawasan empangan batu-hidro-elektrik batu- batan terbesar di Malaysia. Apabila kawasan ini dibanjiri air, kebanyakan kawasan pergunungan berada di atas paras air, sekaligus membentuk 340 pulau buatan manusia. Tasik Kenyir terletak di negeri Terengganu, ia terkenal sebagai tasik yang dipenuhi alam semulajadi dengan pelbagai sepsis hidupan air dan alam flora dan fauna yang masih kekal dan menghijau.
Tasik Kenyir ialah sebuah tasik yang muncul persendirian di tengah-tengah hutan belantara dan ianya dikelilingi oleh ratusan tasik semulajadi. Keindahan Tasik Kenyir memang tidak boleh dinafikan apabila anda berkunjung ke sana. Lihat dan alami sendiri bagaimana indah dan uniknya negara kita.
Kawasan hutan hujan yang meliputi tempat ini juga mempunyai pelbagai spesies flora dan fauna. Ini termasuk koleksi paku-pakis liar, bunga orkid eksotik, burung kenyalang, gajah dan harimau bintang.
Ia turut menempatkan lebih 8,000 spesies bunga, 2,500 spesies tumbuhan, 800 spesies orkid dan 300 spesies kulat.
Ini adalah kawasan percutian popular bagi pengunjung yang ingin dikelilingi kawasan hutan yang indah. Ia juga menjadi tempat kegemaran pemancing kerana menempatkan pelbagai spesies ikan sungai seperti Baung, Toman, Kelisa, Lampan dan Kelah.
Kawasan tasik ini juga popular untuk aktiviti kayak, naik bot, trek hutan, memandu kenderaan pacuan 4 roda dan bermain golf.
Tasik Kenyir juga pintu masuk ke Taman Negara melalui laluan Tanjung Mentong.
Anda boleh datang ke Tasik Kenyir melalui pakej yang disediakan atau datang secara kumpulan dengan naiki kereta dari Kuala Terengganu. Dari Terengganu anda akan melaui jalan Kuala Berang dan akan bertemu dengan beberapa buah perkampungan tradisional melayu. Melalui beberapa buah pekan kecil dan akhirnya anda akan memasuki kawasan perhutanan yang membawa anda ke Tasik Kenyir.
Tasik Kenyir mempamerkan keindahan alam semulajadi negeri Terengganu yang letaknya berhampiran dengan negeri Kelantan dan bersempadan dengan negeri Pahang, iaitu juga bersempadan dengan Taman Negara Malaysia. Di Tasik Kenyir anda boleh mendapatkan penerangan lanjut daripada pusat penerangan yang disediakan oleh Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH). Anda juga boleh melakukan aktiviti perkhemahan atau tinggal di resort yang berhampiran.
KEINDAHAN MENAKJUBKAN
Terdapat lebih 340 buah pulau dan 14 kawasan air terjun di Tasik Kenyir. Anda boleh melihat keindahan air tasik yang kehijauan dan hutan yang mengelilingi tasik serta kejadian alam semulajadinya yang menakjubkan.
Inilah keindahan asli dan panorama yang tidak mungkin anda dapati di tempat-tempat lain. Dengan keluasan 38 000 hektar, di sini terdapat Stesen Hidroelektrik Sultan Mahmud yang mula dibuka pada tahun 1985.
Selain keindahan alam semulajadinya, Tasik Kenyir ialah habitat tumbuhan dan ikan-ikan. Ikan-ikan seperti ikan kelah, toman dan baung banyak terdapat di sini. Keadaan alam semulajadinya menjadikan ikan-ikan di sini banyak dan anda boleh juga memancing.
Di Tasik Kenyir anda boleh melakukan pelbagai aktiviti yang mencabar seperti perkhemahan, memancing, mendaki (jungle treking) dan sukan laut yang menjadi kesukaan anda.
Melalui pakej anda lebih murah bergerak kerana semua keperluan disediakan. Anda juga boleh mendapatkan penerangan ke Tasik Kenyir di Pengkalan Gawi ataupun anda mempunyai rakan dari penduduk tempatan yang boleh menjadi pemandu ketika anda berada di sini.
PENGKALAN GAWI
Dari Pengkalan Gawi anda juga boleh datang ke Tasik Kenyir, Pengkalan Gawi merupakan tempat permulaan pelancong yang ingin pergi ke Tasik Kenyir.
Di sinilah terdapatnya maklumat lengkap penerangan bagaimana anda ingin ke Tasik Kenyir. Di Pengkalan Gawi disediakan dengan tempat letak kereta, jeti dan pelbagai keperluan sukan laut disediakan. Di sini juga disediakan chalet dan resort, bot sewa dan sebagainya.
Pelbagai jenis ikan air tawar tropika termasuklah baung, toman, sebaru, kebab, lampam, kelah, kelisa malah arrowana biak subur dalam tasik ini.
Bagi pengunjung-pengunjung yang ingin menikmati ekspedisi memancing, bot-bot boleh disewa dengan kadar RM 300.00 sebuah atau kira-kira RM60.00 semalam. Lazimnya, tuan punya bot akan membawa pemancing ke beberapa tempat jauh dari jeti selama kira-kira 3 jam. Bagi yang inginkan cabaran, bolehlah memilih perjalanan selama 6 jam manakala untuk mereka yang hendak merasai pengembaraan yang lebih hebat lagi, bolehlah menghabiskan masa semalaman di tasik.
AKTIVITI-AKTIVITI DI TASIK KENYIR
Memancing. semestinya. Anda boleh jangkakan percutian sambil memancing ini akan memberikan keseronokan dan kepuasan.
Mengembara. Persekitaran di rimba dengan pengembaraanbyang mencabar amat sesuai untuk ditempuhi sambil menikmati keindahan alam semulajadi dan melakukan trekking di hutan. Di akhir perjalanan, air terjun yang dingin airnya seolah-olah bagaikan bonus yang menyegarkan.
Berkanu. Anda boleh menyewa kanu sambil menikmati ketenangan air tasik.
Bersampan. Sampan boleh disewa bagi mereka yang ingin bersiar-siar atau memancing.
Jelajahi gua. Gua Biwah menanti anda untuk bersama-sama menerokai sejarah dalamannya yang tersirat.
Berakit Buluh. Bersiap sedialah berakit mengharungi tasik sambil menyegarkan pemandangan dengan alam semulajadi.
Bagaimana untuk ke sana:
Penerbangan disediakan dari bandar-bandar utama di Malaysia ke Kuala Terengganu. Atau pandu sahaja ke Kuala Terengganu. Dari Kuala Terengganu, jika berkereta, hanya mengambil masa kira-kira 1 jam sahaja untuk sampai ke tasik.
Kemudahan-kemudahan di tasik telah dipertingkatkan termasuklah chalet terapung, rumah sampan dan pusat peranginan di pinggir tasik.
KELAINAN TASIK
Kali ketiga di Tsik Kenyir, tanggapan sama sahaja. Unik lagio saujana. Dua perkataan tepat menggambarkan keindahannya yang semakin menyerlah. Ketenangan air dan ceracak tunggul kayu membangkitkan suasana istimewa terutama ketika fajar menyinsing dan matahari terbenam.
Ia kini cepat menjadi daya tarikan kepada pengunjung ke Terengganu Darul Iman. Bagi penggemar alam semulajadi dan mereka yang ingin lari daripada kebiasaan kehidupan harian, tasik ini pilihan tepat. Ia pasti memuaskan dan membangkitkan perasaan luar biasa.
Ia tasik buatan terbesar di rantau Asia. Meliputi kawasan seluas 360 meter persegi dengan persekitaran alam semulajadi istimewa, ia dikenali pelancong luar negara. Justeru, tidak sempurna lawatan ke Terengganu tanpa melihat Tasik Kenyir.
Menyempurnakan lagi latar belakang alam semulajadi yang serba indah itu ialah Primula Kenyir Lake Resort (PKLR). Ia sesuai sebagai pusat peranginan dan mereka yang gemar beriadah.
Selain keindahan alam semulajadi, PKLR anak syarikat Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu menyediakan pelbagai kegiatan menarik seperti mendayung dan memancing yang menjadi tumpuan pengunjung.
Bagi yang gemar berlasak di darat, khemah selesa disediakan untuk bermalam di pinggir hutan. Merentas hutan sering disertai pelbagai kegiatan bersesuaian seperti melawat perkampungan orang asli.
Mendaki Gunung Bewah, merentas ke sempadan Taman Negara dan berkelah di kaki air terjun antara kegiatan mendapat sambutan.
TASIK KENYIR SEBAGAI DESTINASI
PELANCONGAN DI NEGERI TERENGGANU
Tasik Kenyir yang luasnya hampir 260,000 hektar serta ratusan buah pulau yang wujud amat sesuai dibangunkan sebagai destinasi pelancongan. Terletak kira-kira 60km dari bandar Kuala Terengganu dalam Daerah Hulu Terengganu juga kaya dengan keunikan dan keindahan semulajadi flora dan fauna.
Kerajaan Negeri dengan bantuan Kerajaan Persekutuan berhasrat membangunkan Tasik Kenyir sebagai destinasi pelancongan antarabangsa yang utama di negara ini. Keutamaan akan diberi kepada pemeliharaan alam semulajadi tropika (tropical ecosystem) sebagai daya tarikan yang utama kepada pelancong-pelancong antarabangsa.
Bagi menggalak dan memudahkan pelancong datang ke Tasik Kenyir, Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) telah membangunkan Pusat Penerangan Pelancongan dan sebuah pangkalan berhampiran empangan Pelana A di Sungai Gawi yang merupakan pintu masuk ke Tasik Kenyir.
Di antara beratus-ratus pulau jadian di Tasik Kenyir, PMINT telah memilih Pulau Poh untuk dibina kemudahan penginapan. Pulau Poh yang mempunyai keluasan 37 hektar adalah amat sesuai untuk dijadikan sebuah pulau pelancongan yang menarik. Pulau ini juga merupakan pulau yang paling berhampiran dengan pintu masuk Sungai Gawi. Perjalanan dari Pengkalan di Empangan Pelana A hanya memakan masa lima minit dengan bot laju.
Pembinaan pusat peranginan ini beserta dengan sebuah restoran yang dilengkapi dengan kemudahan asas menelan belanja hampir RM4 juta. Sebanyak 48 buah chalet bertaraf mewah dan sederhana dibina termasuk 8 buah chalet terapung yang dihubungkan dengan jeti. Manakala yang selebihnya dibina dipinggir bukit.
Setiap chalet terapung diberi nama berdasarkan ikan-ikan yang terdapat di dalam Tasik Kenyir seperti Tapah, Kaloi, Sebarau, Kelisa, Baung dan Belida.
Pusat Peranginan Pulau Poh telah memulakan operasinya pada 12 Januari 1993 dan dikendalikan oleh anak syarikat PMINT, Primula Resorts Management Sdn. Bhd. dengan nama Primula Kenyir Island Resort.
Di antara kemudahan rekreasi yang disediakan ialah seperti memancing, berkayak, berkelah di beberapa buah air terjun, mendaki Gunung Bawah, mengembara ke sempadan Taman Negara, rekreasi darat seperti merentas desa dan melawat ke kampung orang asli. Di samping itu banyak kemudahan yang sedang dirancangkan untuk dibina seperti Kolam Terapung, Taman Kanak-Kanak dan Kaum Remaja, Pusat Bina Semangat, Taman Burung dan Taman Hikayat.
Dengan siapnya chalet PMINT di Pulau Poh akan menambahkan lagi tempat penginapan pelancongan di sekitar Tasik Kenyir. Sebelum ini terdapat sejumlah 125 buah bilik yang boleh menempatkan seramai 250 hingga 375 orang pelancong dalam satu-satu masa.
0 comments:
Post a Comment