( Bidang Keseniaan )
Nama sebenarnya Abdul Aziz bin Abdul Rahman dilahirkan pada 3 November 1934 di Kampung Hujung Tanjung, Tanjung Luang, Seberang Takir, Kuala Terengganu. Anak kelima dalam keluarga enam orang adik beradik. Mendapat pendidikan awal sehingga darjah lima di Sekolah Melayu Seberang Takir sebelum meneruskan pelajarannya di Sekolah Menengah Sultan Sulaiman Kuala Terengganu bagi mendalami penguasaannya dalam Bahasa Inggeris selama hampir 3 tahun dan berhenti disebabkan kesempitan kewangan oleh keluarganya.Selepas itu bekerja sebagai nelayan dan pada tahun 1951 beliau mula berkhidmat dalam perkhidmatan Polis Khas Tanah Melayu, setahun kemudian 1952 beliau bertukar ke jawatan Polis Hutan.
Pengalaman J.M. Aziz sepanjang penglibatan beliau sebagai anggota pasukan keselamatan mula dijadikan bahan untuk mengilhamkan karya-karya awalnya terutama dalam penghasilan rencana iaitu bidang penulisan awal yang beliau tangani. Selain itu, beliau juga penah berkhidmat sebagai guru. Tidak lama selepas itu beliau dilantik sebagai Setiausaha Inspektor dan ditugaskan menjaga keretapi di Perak.
J.M.Aziz berkahwin dengan Lijah binti Daud sewaktu beliau berkhidmat di daerah Kemasik, pada tahun 1952. Dikurniakan 7 orang anak dan 21 orang cucu.
Perjalanan hidupnya setelah kembali ke Seberang Takir menjadi semakin mencabar dan dijalani dengn penuh keperitan. Kembali menjadi nelayan disamping menarik beca dan sempat bekerja sebagai buruh pelabuhan di Kuala Terengganu. Pada tahun 1965 beliau disahkan mengidap penyakit kusta dan di rawat di Pusat Pemulihan Penyakit Kusta di Sunga Buloh, Selangor. Akibat daripada itu beliau tidak dapat melihat dan sebahagian daripada anggotanya cacat.
Beliau mula menulis pada tahun 1952 dalam bidang penulisan rencana dan juga cerpen tetapi sehingga kini genre puisi telah menjiwai dirinya kerana menurutnya, alam puisi adalah hati dan perasaan serta jiwanya sendiri.
Beliau pernah menggunakan beberapa nama samaran yang lain seperti Aziz Rahman, Indera, Aziz Abd. Rahman, Azizah A. Rahman, Ibnu Rahman dan juga Jiwa Merana.
Hasil daripada pengorbanan dan sumbangan yang telah dicurahkan oleh J.M.Aziz terhadap dunia kesusasteraan inilah yang telah membawa beliau kepada kedudukan yang ada pada hari ini. Namanya diletakkan sebaris dengan nama-nama penyair tanahair yang lain. Kualiti penulisan atau penghasilan karya-karya kreatifnya serta sumbangan-sumbangannya dalam bidang kebudayaan telah mendapat anugerah-anugerah tertentu seperti Hadiah Sastera Malaysia oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Anugerah Penulis Malaysia oleh Persatuan Penulis Malaysia (PEN), Tokoh Penyair Terengganu oleh Ruang Teater Tamu (TETAMU) , Anugerah Khas Warga Tua Terengganu (1994), Anugerah Khas Kelab wartawan Terengganu Kawat-Esso (1998)dan Anugerah Budaya Negeri Terengganu Darul Iman oleh Kerajaan Negeri Terengganu. Beliau meninggal dunia dirumahnya di Kampung Seberang Takir , Kuala Terengganu , pada 15 Mac 2002 (Jumaat) bersamaan 1 Muharram 1423 kerana sakit tua , ketika berusia 68 tahun.
Sumber: Koleksi Terengganu PPAT.
Dato' Setia Jasa
Dato’ Hj. Mohd Salleh Awang (MISBAHA)
Dato' Haji Mohd Salleh bin Haji Awang dilahirkan pada hari Rabu 23 Syaaban 1335 bersamaan 13 Jun 1917 di Kampung Masjid, bandar Kuala Terengganu dan merupakan anak bongsu dari dua adik beradik.
Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Paya Bunga, Kuala Terengganu pada tahun 1923 hingga tamat pada tahun 1929.Kemudian menyambung pelajaran di Madrasah Al-Sultan Zainal Abidin dan merupakan seorang murid yang pintar, ini jelas berdasarkan kepada keputusan peperiksaan akhir, beliau mendapat tempat keempat daripada sepuluh orang pelajar yang lulus ketika itu.
Beliau pernah mendapat tawaran biasiswa untuk melanjutkan pelajarannya di Sekolah Inggeris tetapi terpaksa ditolak kerana tidak digalakkan oleh kedua ibu bapa beliau. Ini jelas disebabkan pengaruh keagamaan memainkan peranan penting dan mereka yang bersekolah Inggeris pada masa itu dicap sebagai kafir.
Keadaan sedemikian, menyebabkan beliau mengikuti kelas malam Bahasa Inggeris di Crown Grammar School dan telah mendapat kelulusan kelas enam pada tahun 1936. Ketika menuntut di Madrasah Sultan Zainal Abidin, beliau aktif dan pernah menjadi Ahli Jawatankuasa Karang Mengarang dan Majlis Perbahasan. Pada 11.12.1937 beliau telah dilantik sebagai guru dan mula bertugas di Sekolah Melayu Paya Bunga, Kuala Terengganu.Setelah tiga tahun berkhidmat, beliau dilantik sebagai Guru Pelawat di Sekolah-sekolah Agama Terengganu pada 1 Jun 1941.
Ketika pendudukan Jepun di Tanah Melayu, beliau bertugas sebagai Pegawai Perhubungan Konsul Jepun iaitu Jurubahasa Kempitai Jepun. Kemudian dilantik sebagai Ketua Pegawai Maklumat di Jabatan Propaganda . Selain itu beliau juga dilantik sebagai Ketua Pengarang Akhbar Cahaya Timur.
Setelah Jepun menyerah kalah pada tahun 1945, beliau telah ditangkap bersama Ibrahim Fikri serta Wan Daud Ahmad dan telah ditahan dalam penjara Kota Bharu sebelum dihantar ke Kuala Terengganu. Beliau bertiga kemudiannya dibebaskan setelah mendapat pengampunan dari King George ke IV.
Beliau kemudiannya telah dilantik semula sebagai guru pelawat sebagaimana jawatannya yang telah dipegang oleh beliau sebelum perang dunia kedua. Jawatan-jawatan lain yang dipegang:
- Januari 1951, beliau dilantik sebagai Penasihat haji di Terengganu.
- Januari 1953, dilantik sebagai Pemeriksa Hal Ehwal Agama Islam Terengganu
- Presiden Pertubuhan Kebajikan Islam ( PERKASA ).
- Pengerusi Darul Falah (Rumah Anak Yatim).
- Yang Dipertua Syarikat Permodalan Pegawai Agama Terengganu.
- Ahli Majlis Islam dan Adat Melayu Terengganu.
- Wakil Rasmi Kerajaan Terengganu ke Majlis Musabaqah membaca Al-Quran Peringkat Kebangsaan.
- Ahli Jawatankuasa Musabaqah Al-Quran Peringkat Negeri Terengganu dan Jawatankuasa haji.
- Pengerusi Jawatankuasa Tabung Haji dan Pusat Islam.
- Pengerusi Muzakarah Pengkhusus Haji Malaysia.
- Penceramah Haji Seluruh Terengganu.
Di peringkat awal penglibatannya dalam kesusasteraan, beliau telah menjalankan kegiatan penterjemahan antaranya:"Juzfin",Aina Qatil' (Di manakah Pembunuh). Dalam bidang cerpen, tercipta tiga buah cerpen iaitu "Anuwar Syah denganPuteri Syarifah Al-Kamar", Awang Hutan dengan Ular, Tikus dan Helang" dan "Kasih Yang Sebenar".
Selain itu, cerita terjemahan juga dihasilkan seperti "Rahsia Rumah Biru", "17 Ramadhan", "Kasihan Belas","Perjuangan Hidup" dan sebagainya. Beliau juga pernah menghasilkan beberapa buah skrip drama seperti "Aku Semua Tahu", "Bagaimana Kebangkitan Islam dan Pertentangan Kristian" dan sebagainya.
Dalam bidang puisi, beliau menghasilkan sajak "Merenungi Wajah Tanah air", "Askar Melayu" dan sebagainya. Manakala dari sudut sejarah beliau banyak menghasilkan buku-buku bercorak sejarah seperti Semangat Penganjur-Penganjur Islam; Siapakah Penganjur Dunia, Ringkasan Tarikh Khalifah Yang Empat ,Negara Nabi-nabi, Ringkasan Tarikh Junjungan Rasulullah, Mengkaji Sejarah terengganu, Mengkaji Sejarah Terengganu Jilid I, Mengkaji Sejarah Terengganu Jilid II, Mengkaji Sejarah Terengganu Jilid III, Pusaka Suci dan banyak lagi.
Buku keagamaan yang ditulis oleh beliau seperti Teman Anda Ke Tanah Suci, Bimbingan Ibadat Haji, Umrah dan ziarah serta banyak lagi.
Jasa dan sumbangan beliau yang besar kepada bangsa dan negara menyebabkan banyak bintang-bintang dan anugerah diterimanya antaranya: PJK.,AMN.,SMT.,JP.,DPMT.,KMN.,DSMT.,Master (letters) USM., Tokoh Sukarelawan Negeri terengganu, PJC, Tokoh Maal Hijrah Negeri Terengganu, Dato' Setia Jasa dan Ahli Jemaah Pangkuan Negeri.
Di sebalik usia yang menjangkau 75 tahun, Allahyarham sebenarnya tidak mengenal penat lelah kehidupan, masih meluangkan kesempatan menjalankan tugas-tugas yang diamanahkan kepadanya sehinggalah ke saat akhir kematiannya beliau hendak ke Kuala Lumpur untuk menghadiri Mesyuarat Pakar Rujuk Lembaga Urusan dan Tabung Haji namun tidak berkesempatan lantaran ajal telah memanggilnya pulang.
Allahyarham menghembuskan nafas yang terakhir pada jam 9.45 malam 31 Ogos 1992 dirumahnya di Kampung Serada dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Tok Pulau Manis, Pulau Manis, Kuala Terengganu.
Dato' Haji Abas Muhd (Bidang Keagamaan)
Lahir di Kampung Bukit Puteri, Kuala Besut hampir seabad yang lalu. Lebih mesra dengan panggilan To' Guru Haji Abbas kerana kealiman yang diakui umum khususnya di bidang ilmu feqah yang merangkumi 4 mazhab: Syafie, Maliki, Hanafi dan Hambali menerusi gerakan pendidikan pondok.
Mendapat pendidikan awal di Pondok Haji Mohd bin Haji Hussein, Kuala Besut. Kemudian ketika berusia 14 tahun beliau telah melanjutkan pelajarannya ke Mekah selama 8 tahun. Dari M
ekah beliau ke India menyambung pengajian di Universiti Al-Jamiah Al- Islamiah Gujerat ketika berusia 22 tahun. Setelah pulang ke tanah air, 4 tahun kemudian beliau datang kembali ke Benua Kecil Hindi meneruskan pengajiannya di Universiti Darul Ulum Dioband selama 1 tahun pada tahun 1938.
Berpegang kepada prinsip hidup mesti beramal, berbakti dan berkorban demi mencapai keredhaan Allah. Ilmu wajib diperkembangkan demi kesejahteraan umat seluruhnya telah
membuktikan prinsip itu dengan mengasaskan sebuah pondok di kampung kelahiran
nya yang diberi nama Jamiah Diniah. Bersama beberapa orang Ulama' yang lain beliau membuka sebuah pondok lain di Kampung Raja, Besut iaitu Madrasah Nurul Ittifaq, selepas itu di Kuala Besut beliau mengasaskan Darul Adib Al-Khursani.'
Gerakan pendidikan dan dakwah tokoh ini tidak terhad di kawasan Besut sahaja,malah melewati sempadan Bukit Yong di Negeri Kelantan Darul Naim dengan membuka beberapa buah pondok mulai tahun 1945. Seterusnya dari Kelantan belaiu berhijrah ke Kuala Terengganu mengasaskan pondok Tok Jiring yang terkenal itu pada tahun 1953 sehingga berkembang menjadi sebuah Sekolah Menengah Agama sehingga kerajaan negeri mengambilalih pentadbirannya pada 1962 dan pada tahun 1976 Kementerian Pelajaran Malaysia mengambil alih pentadbirannya dan
dinaikkan taraf sebagai sebuah sekolah Menengah Agama yang termoden di Terengganu.
Keistimewaan Tuan Guru Haji Abbas juga terserlah melalui beberapa hasil karya ilmiah dalam bidang keagamaan.Atas segala bakti itu Kerajaan Negeri Terengganu Darul Iman telah mengisytiharkannya sebagai Tokoh Ulama' dalam Majlis Sambutan Ma'al Hijrah tahun 1409. Pada 17 April 1989 DYMM Tuanku Al Sultan telah berkenan mengurniakan Bintang Kebesaran Negeri Terengganu Dato' Paduka Mahkota Terengganu, (DPMT) yang membawa gelaran Dato' kepadanya.
Lanjutan daripada itu beliau turut dianugerahkan sebagai Tokoh Guru Terengganu tahun 1990. Pada 16 Mei 1991, beliau sekali lagi diisytiharkan sebagai Tokoh Guru Peringkat Nasional.
Begitu juga dengan keterlibatan beliau dalam politik yang pernah dilantik sebagai senator
selama 6 tahun oleh Dewan Undangan Negeri Terengganu pada awal tahun 60 an.
Beliau yang mempunyai 15 orang anak. Salah seorang daripadanya yang meneruskan pendidikan pondok ialah Encik Abdul Aziz bin Haji Abbas. Pada 1 Julai 1997 beliau telah kembali ke rahmahtullah.
BELASUNGKAWA DATO’ HAJI RAZALI BIN ISMAIL (1949-2008)
PPAT KEHILANGAN PEMIMPIN DISEGANI
Meskipun sedetik berlalu, pelbagai peristiwa yang mewarnai kehidupan manusia boleh berlaku. Perbadanan Perpustakaan Awam Terengganu (PPAT) khasnya, kehilangan seorang pemimpin dan tok
oh akademik berwibawa serta disegani ramai kerana pengalaman dan idea bernas yang sering dilontarkan bagi melahirkan cerdik pandai. Sebelum menghembuskan nafas terakhir, Timbalan Pengerusi Dato’ Razali bin Ismail, 59 tahun tidak menunjukkan sebarang tanda-tanda bahawa beliau sakit malah kelihatan sihat dan cergas. Berita kematiannya memang mengejutkan.
Allahyarham dilantik Timbalan Menteri Pelajaran pada 18 Mac 2008 merupakan Ahli Perlimen Kuala Terengganu meninggal dunia secara mengejut di Institut Aminuddin Baki (IAB), Genting Highlands pada 28 November 2008 ketika sedang bermain badminton kira-kira pukul 6.30 petang. Jenazahnya selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Sheikh Ibrahim, Jalan Pusara, Kuala Terengganu.
Allahyarham yang dilahirkan di Kuala Berang pada 25 Jun 1949 mendapat Diploma Pendidikan dari Universiti Malaya tahun 1973 dan kemudiannya melanjutkan Ijazah Sarjana juga dalam bidang pendidikan di University of Birmingham tahun 1986 dan 1987.
Pengalaman sebagai seorang Pendidik, Pensyarah dan Pengarah Bahagian Pendidikan Guru, di Kementerian Pelajaran banyak membantu beliau menjadi seorang pemimpin yang boleh diterima oleh seluruh masyarakat. Beliau pernah memikul tanggungjawab sebagai Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sejak 2004.
Selaku Timbalan Pengerusi PPAT yang dilantik pada 7 Julai 2004, beliau telah bersama-sama membangunkan PPAT dalam mencetuskan tradisi keintelektualan dan budaya ilmu. Nilai tambah dala
m bidang pembacaan termasuk infrastruktur perpustakaan samada di pihak pengguna mahupun warga kerja perpustakaan adalah penting dalam usaha melahirkan rakyat yang bestari dan kreafif. Program terakhir Allahyarham bersama PPAT ialah merasmikan Program Jerayawara Bulan Bahasa Dan Sastera Negara 2008 Peringkat Wilayah Timur pada 26 Oktober 2008 bertempat di Dewan Teater, Perpustakaan Awam Negeri Terengganu.
Personalitinya yang sederhana dan cukup mesra membuatkan Allahyarham mudah diterima oleh semua golongan masyarakat. Allahyarham meninggalkan balu To’ Puan Nooraini Lob Yusoff 51, dan lima orang cahaya mata iaitu Muhamad Nurazli 30, Pengurus di Sime Darby Bhd, Asrul Shah 27 bertugas sebagai Pegawai Tadbir Diplomatik, Khairul Amar 23, masih menuntut di Amerika Syarikat, Khairul Anwar menuntut di Universiti Selangor dan yang bongsu Khairul Arif 16, pelajarolah Menengah Agama Persekutuan Kajang, Selangor.
Semoga roh Allahyarham ditempatkan bersama orang yang soleh.
Pulau Pandan jauh ke tengah
Hamcur badan dikandung tanah
Budi yang baik dikenang jua
.
Datuk Haji Razali Ismail kini sudah pergi buat selama-lamanya. Ketika hayatnya, beliau dianggap sebagai tokoh teater yang mementingkan asas pendidikan. Teater yang dibawanya berbaur pendidikan dalam teater dan teater dalam pendidikan.
Sewaktu beliau menjadi Setiausaha Perkumpulan Teater Terengganu (KUMPUTER) selepas mengambil alih daripada saya, beliau menggagas manifestasinya. Melaui Manifestasi 111 pada 1981, beliau mengutarakan Teater Sebagai Media Pendidikan.
Kata beliau, ”Keterampilan teater dan apresiasi seni harus bermula dari zaman kanak-kanak menerusi pendidikan formal dan tidak formal”.
Ekoran itu, manifestasi tersebut menghasilkan resolusi supaya ”teater dan pendidikan kebudayaan” dijadikan isi kandungan dalam Sistem Pendidikan Kebangsaan. Hal tersebut merupakan satu ketetapan untuk merealisasikan Kurikulum Baru Sekolah Rendah.
Sewaktu berbual dengannya dua bulan sebelum beliau meninggal dunia pada Jumaat 28 November 2008 pukul 6.30 petang ketika bermain badminton di Institut Aminuddin Baki (IAB) Genting Highlands, beliau berhasrat untuk merealisasikan manifestasi dan resolusi 1981 itu dengan kapasitinya sebagai Timbalan Menteri Pelajaran.
Beliau juga mahu saya dan Majlis Teater Negeri Terengganu mengumpulkan sebanyak mungkin penggiat teater, terutamanya penggiat teater Terengganu pada akhir 2008. Kami bersetuju. Beliau telah memberikan sedikit peruntukan untuk menjayakan program yang amat diminati itu. Kami berasa kehidupan teater Terengganu lebih kukuh, bertambah kuat, bertenaga dan bersemangat ketika beliau menjadi Pengarah Pelajaran Terengganu hinggalah beliau menjadi Timbalan Menteri Pelajaran.
Ketika Persatuan Karya Negeri Terengganu (KARYA) meminta beliau merasmikan wacana teater: Pemikiran dalam Teks Drama Pentas Terengganu pada 28 April 2007 dan Majlis Pelancaran Pementasan Drama Janji Teja pada 19 Mei 2007, beliau amat bersungguh-sungguh untuk menghadirkan diri. Beliau datang dan memberikan ucapan yang kental dan bersemangat untuk orang-orang teater, orang sastera dan orang seni selain orang awam yang menghadiri majlis tersebut.
Teater sebagai satu media pendidikan tidak akan terlepas dalam setiap ucapannya mengenai teater. Dalam dua majlis itu juga disebutnya pada saya bahawa beliau sudah terdidik sebagai seorang pendidik. Daripada seorang guru, seorang pensyarah maktab, pengetua maktab, pengarah pelajaran, pengarah bahagian pendidikan di Kementerian Pelajaran sehinggalah menjadi Timbalan Menteri Pelajaran.
Perdana Menteri sewaktu memberikan ulasan dan pandangannya tentang kematian Datuk Razali itu ada menyebut, ”Saya menaruh harapan supaya suatu hari nanti Allahyarham menjadi Menteri Pelajaran”. Saya percaya itu.
Saya percaya kuasa Allah. Pada pilihanraya 2004, beliau menang Ahli Perlimen Kuala Terengganu. Ketika beliau datang ke rumah saya pada malam keesokannya selepas pengumuman kemenangannya sebagai Ahli Perlimen, saya nyatakan kepadanya, ”Li, kamu bakal menjadi setiausaha perlimen atau Timbalan Menteri Pelajaran”.
Beliau akur akan perkara itu kerana namanya disebut-sebut untuk menjawat jawatan tersebut. Namun dua minggu selepas itu beliau beritahu saya bahawa Menteri Besar memberitahunya, namanya digugurkan daripada senarai.
Akhirnya perbualan saya dengan beliau benar-benar terjadi apabila selepas menang Pilihanraya Umum ke-12 yang lalu, beliau dilantik menjadi Timbalan Menteri Pelajaran. Menerusi kejayaannya, kedudukan teater, seni dan sastera menjadi bertambah kukuh untuk direalisasikan di sekolah. Beliau ada memberitahu saya akan hal itu sewaktu saya berkunjung ke pejabatnya di Putrajaya seawal beliau menduduki kerusi Timbalan Menteri Pelajaran. Beliau meminta saya supaya mengajak kawan-kawan datang ke pejabatnya. Biliknya sentiasa terbuka. Saya gembira mendengarnya.
Saya gembira kerana beliau masih lagi rapat dengan saya walaupun agak renggang sedikit sewaktu timbulnya ”Revolusi Istana” dalam Perkumpulan Terengganu akibat anasir dan virus yang cuba menyingkir saya dari KUMPUTER.
Razali tahu akan kedudukan saya yang sebenarnya kerana kami sama-sama membangun seni dan sastera sewaktu bersekolah di Sekolah Menengah Sultan Sulaiman, Kuala Terengganu, sekitar tahun 1967-1968. beliau memang hebat di sekolah-mengarang dan mengarah drama sekolah. Drama karya dan arahan beliau yang terkenal ialah Pendekar Tempang. Malahan, beliau telah berjaya menghasilkan skrip drama yang cukup tinggi teks sasteranya berjudul Dunia Dua dan Escapesiem.
Selain itu, kami dan teman-teman lain berjaya membangunkan Kesusasteraan Melayu Terengganu (KESUMA) selepas tamat sekolah menengah pada 1968. Kemudian, kami menguasakan pementasan drama berjudul Di Manakah Ku Cari Ganti pada awal 1970 sebelum beliau menyambung pelajarannya ke Universiti Malaya. Sekembalinya beliau dari Universiti Malaya, kami menubuhkan KUMPUTER pada 25 Oktober 1974 bertempat di Pantai Motel, Kuala Terengganu.
Melalui KUMPUTER, kami megusahakan skrip berjudul Layang-Layang Terbang Melayang. Skrip itu terhasil di rumah saya di Kampung Padang Hiliran, Kuala Terengganu ketika kami masih bujang. Ketika saya menaip, beliau mencari idea, ketika beliau menaip, saya mencari idea, hingga terhasil skrip tersebut dan akhirnya dipentaskan pada Februari 1975.
Sewaktu dalam KUMPUTER, kami bersama-sama dengan Wan Hanafi Su dan Mohd. Ali Taha telah menghasilkan cerita pentas yang berunsur ritual. Antaranya ialah Selayut (karya Mohd. Ali Taha), Ancak (karya Wan Hanafi Su) dan Ambooiii (karya Wan Ahmad Ismail).
Melalui pengalaman tersebut, beliau berjaya menggarap drama berjudul Nyoyang. Nyoyang menjadi karya agung beliau kerana berjaya dipentaskan lebih 30 kali, termasuk di Taman Ismail Marzuki, Indonesia pada 13-14 Januari 1983.
Sebagai seorang yang mementingkan disiplin, arahannya terserlah menerusi Wau Bulan. Banyak penggemar teater yang menganggap teater arahannya cukup mantap dan berwibawa. Malahan lakonannya cukup hebat ketika berlakon seorang diri (monolog) sebagai Sang Pengarang melalui drama berjudul Kosong.
Karya beliau banyak berlatarkan kehidupan kampung, permainan rakyat dan persembahan tradisional dan ritual seperti drama Awak Dayung Mak Yong, Kain, Paku Siah Paku Kecundang, Rohaniku Bisu, Bisuku Rohani, Wau Bulan, Selayut dan banyak lagi.
Beliau meninggal dunia di gelanggang sukan dan bukan di pentas lakonan. Beliau meninggalkan kawan-kawan teater, meninggalkan isteri To’ Puan Nooraini Lob Yusoff dan lima orang anak yang setahu saya tidak seorang pun yang berminat dalam dunia seni sastera dan teater.
Banyak orang yang menganggap beliau satu-satunya warga pendidik yang amat prihatin terhadap dunia pendidikan. Beliau meninggalkan rakyat Kuala Terengganu yang beliau menjadi ahli parlimennya. Malahan semasa menjadi Timbalan Menteri Pelajaran, beliau mengambil berat akan kedudukan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).
Datuk Johan Jaafar melaui khidmat pesanan ringkasnya kepada saya menyatakan terima kasihnya kepada Datuk Razali kerana banyak membantunya di DBP. Selepas saya bersara, beliau mencadangkan kepada Kerajaan Negeri Terengganu dan Menteri Besar terdahulu supaya saya menduduki Akademi Seni Terengganu. Cadangannya tidak berjawab, bermakna kerajaan negeri menolaknya. Semuanya ketentuan Allah S.W.T.
Apa-apa pun, Datuk Razali Ismail meninggalkan kita dengan karyanya Ngoyang yang dianggap berhantu, di samping karya lain yang tidak kurang hebatnya. Beliau meninggalkan kesan ketika berlakon melalui drama Kosong dan memberikan input yang tajam ketika mengarah Wau Bulan. Beliau terjatuh ketika bermain badminton, bukan bermain drama.
DBP sepatutnya mengambil inisiatif untuk mengumpul dan mencetak kembali skrip drama pentasnya sebgai tanda ingatan kepada beliau.
Semoga rohnya dicucuri rahmat. Amin.
OLEH WAN AHMAD ISMAIL
0 comments:
Post a Comment